TERAJU Syor Usahawan Sertai SUPERB

metro

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan melaksanakan langkah agresif bagi menggalakkan usahawan dan syarikat permulaan di luar bandar menyertai Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB).

SUPERB ialah program yang diperkenalkan kerajaan melalui TERAJU dengan dana sebanyak RM100 juta akan diagihkan bagi tempoh tiga tahun untuk membantu usahawan muda Bumiputera kreatif dan inovatif bertapak dalam perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Husni Salleh (gambar) berkata, skim berkenaan yang baru dimulakan tahun ini menerima lebih banyak penyertaan daripada usahawan yang beroperasi di Lembah Klang.

“SUPERB baru dimulakan tahun ini dan ia dilaksanakan secara berperingkat selama tiga tahun.

“Untuk pusingan pertama yang berakhir bulan lalu, kami menerima 1,791 penyertaan dengan sebahagian besar adalah dari Lembah Klang,” katanya selepas sidang media mengenai SUPERB di sini, semalam.

Menurutnya, kira-kira 65 peratus peserta dari Lembah Klang, utara (16 peratus), pantai timur dan Johor (tujuh peratus), Sabah (tiga peratus) dan Sarawak (dua peratus).

Memandangkan skim ini baru diperkenalkan dan sudah melepasi sesi pertama, maka pihaknya akan menjalankan lebih banyak aktiviti dalam usaha menggalakkan penyertaan dari negeri lain.

“Selain menjalankan aktiviti dengan agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO), kami turut menjalin kerjasama dengan koridor ekonomi supaya lebih ramai usahawan dapat menyertai skim yang ditawarkan,” katanya.

Geran sehingga RM500,000 ditawarkan kepada syarikat Bumiputera yang baru ditubuhkan atau beroperasi kurang dari tiga tahun.

Sementara itu, menurutnya, pusingan pertama skim berkenaan menyaksikan kira-kira 600 syarikat berjaya disenarai pendek dengan hanya 20 pemenang akan menerima geran yang ditawarkan.