Sumber Semula Jadi Boleh Di Komersial di Sabah

 

 mynewsclub

June 21, 2011

SANDAKAN – Sabah mempunyai sumber semula jadi yang banyak seperti madu, beras bukit, rumpai laut, kayu manis dan halia yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi oleh usahawan tempatan.

Justeru, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) Berhad Sabah kini membangunkan produk kosmetik yang berasaskan sumber semula jadi terbabit.

Pengurus Besarnya, Khairon Untoh berkata,  sumber semula jadi terbabit mudah diperoleh di negeri ini dan ia merupakan satu `bonus ‘ buat masyarakat tempatan di sini.

“Faktor ini membuka peluang untuk usahawan menerokai dan memanfaatkan sumber yang berpotensi dihasilkan sebagai produk komersial,” katanya  pada Perasmian Program Pengenalan Biokosmetik dan Produk Semula jadi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairon berkata, Sirim Berhad Sabah sedang bekerjasama dengan lima usahawan bumiputera dalam membangunkan produk kosmetik berasaskan madu, beras bukit, rumpai laut, kayu manis dan halia

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan membantu usahawan bumiputera Sabah membangunkan produk kosmetik menerusi teknologi, inovasi dan kreativiti yang ada pada pihaknya seperti Makmal Loji Pandu Kosmetik.

Selain itu, katanya, Sirim turut menyediakan perkhidmatan bagi membantu usahawan bumiputera yang berminat untuk membangunkan produk kosmetik tempatan.

Katanya, antara bantuan yang diberikan itu adalah latihan pengenalan, bengkel pembuatan serta kursus kesedaran berkaitan produk kosmetik. – mynewshub.my