Mohd Nizam Mahshar 7:10AM Nov 25, 2011 |
Situasi ekonomi Bumiputera hari ini dilihat masih berada pada tahap tidak stabil dan seimbang. Ia dibuktikan dengan beberapa statistik terkini yang menunjukkan Bumiputera mengungguli kumpulan pendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan.
Berdasarkan laporan PReCISE (Penang Research Centre in Socio-Economy) 2010, masyarakat Melayu mewakili 78.55% daripada 12,684,000 penduduk yang berada dalam kelompok itu. Manakala etnik Cina dan India masing-masing mewakili 14.63% dan 9.18%.
Di bawah Dasar Ekonomi Baru (NEP), kerajaan telah gagal mencapai 30% pegangan ekuiti Bumiputera yang merangkumi 62% daripada jumlah penduduk Malaysia. Ini bermakna pendapatan purata isi rumah Bumiputera adalah 30% lebih rendah berbanding kumpulan etnik lain di Malaysia. Dari segi aktiviti keusahawanan pula, penglibatan Bumiputera dilihat jauh lebih rendah.
Selain pencapaian ekonomi yang kurang memberangsangkan, polisi baru turut diperkenal yang memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada Bumiputera. Antaranya, cadangan menghapuskan pegangan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Polisi ini dilihat oleh sebahagian, boleh membantut usaha kerajaan dalam pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.
Kebimbangan dari kumpulan Bumiputera ini telah menyebabkan mereka memberikan tekanan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang telah menyenaraikan 33 GLC di dalam senarai cadangan berkenaan. Tindakan itu menyebabkan masyarakat Melayu mendesak penjelasan bagi memastikan kepentingan mereka tidak terjejas.
Jika diimbas kembali matlamat Wawasan 2020 yang dilancarkan pada 28 Februari 1991, objektif asalnya adalah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berdikari, progresif dan berdaya saing. Sembilan matlamat telah digariskan yang merangkumi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan.
Namun, dalam pusingan terakhir bagi mencapai matlamat tersebut, negara berdepan pelbagai rintangan yang belum dapat diselesaikan. Dari aspek sosial pula, kita perlu meningkatkan kualiti hidup dan mengatasi beberapa masalah lain seperti isu sosial, jenayah dan rasuah.
Dari aspek ekonomi pula, Malaysia perlu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonominya kepada 8% setahun. Jika dilihat pada 1991 sehingga 2008, ekonomi Malaysia meningkat pada kadar 6.2% setahun. Dalam usaha menggerakkan transformasi ekonomi negara, Malaysia berdepan rintangan yang besar sehingga memaksa negara ini memperkenal bajet dengan defisit yang kian meningkat dan dengan tahap hutang yang tinggi.
Oleh kerana Bumiputera mewakili jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, mereka perlu menyelesaikan isu berkenaan dengan segera. Ini kerana secara logik, merekalah yang bakal memberikan impak yang besar kepada ekonomi seterusnya kestabilan sosial berikutan jumlah mereka yang ramai.
Namun, kelemahan penguasaan Bumiputera dalam sektor keusahawanan dan ekonomi membantutkan segalanya. Tindakan membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) pada 2009 juga dilihat antara langkah yang membantut usaha pencapaian ekonomi dan pembangunan usahawan Bumiputera.
Hari ini, kerajaan telah merangka pelbagai pelan ekonomi untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020. Agenda 1Malaysia misalnya, menyaksikan satu pelan transformasi negara ke arah negara maju, berpendapatan tinggi, berdaya tahan dan berdaya saing. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga diberi mandat untuk memantau Program Transformasi Kerajaan(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Melalui sasaran ditetapkan GTP dan ETP, Malaysia bakal menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Ini termasuk peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita kepada RM48, 000 dan RM1.7 trilion setahun serta kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6% setahun. Ia juga bakal menyaksikan penambahan 3.3 juta peluang pekerjaan.
TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) pula diwujudkan untuk menyediakan pelan jangka panjang bagi memperkukuh penyertaan bumiputera dalam ekonomi. Faktor yang menyebabkan Bumiputera kurang menyertai Entry Point Projects (EPP) juga perlu ditangani oleh unit ini.
Jika dilihat secara kasar, Bumiputera mempunyai pelbagai pelan yang sepatutnya dapat membela nasib mereka. Persoalannya, mengapa sehingga kini kelompok terbesar ini masih lagi gagal menjadi peneraju ekonomi?
Sebenarnya, pelan-pelan yang dirangka telah mengenepikan aspek jurang ekonomi yang semakin melebar antara bumiputera dan etnik lain. Pelan berkenaan dibuat tanpa memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap realiti dan status sosial pada hari ini. Malah, melalui GTP dan ETP, Melayu dan Bumiputera lain bakal berdepan kegagalan, sekiranya isu hal ehwal ekonomi kumpulan berpendapatan rendah tidak ditangani dengan segera.
Selain itu, pelaksanaan aspirasi wawasan 1Malaysia juga disalahgunakan. Sebahagian besar anggota NGO Ekonomi Melayu mendakwa mereka dipinggirkan daripada menikmati peluang ditawarkan GTP dan ETP. 1Malaysia telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak, semata-mata untuk memenuhi kepentingan mereka. Lebih menyedihkan, permintaan mereka dipenuhi kerajaan dengan mengetepikan peluang kepada orang Melayu.
Pelancaran sebuah Pelan Transformasi Bumiputera atau Dokumen Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan TERAJU pada 26 November 2011, dilihat sebagai satu titik penting dalam mencorakkan halatuju ekonomi Bumiputera di negara ini.
Harapan yang tinggi kepada Dokumen ini di sebalik segala perancangan dan janji-janji yang belum terlaksana sebelum ini, akan menjadikan dokumen ini satu aras tanda penting terhadap gagal atau berjayanya proses transformasi kaum Melayu negara ini dalam pecutan terakhir dalam mencapai Wawasan 2020.
Dokumen Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera ini juga bakal berada dalam mikroskop semua pihak, malah akan diperbandingkan dengan perancangan dan perlaksanaan Pelan Transformasi Eknonomi (ETP) oleh PEMANDU yang kini dikatakan telah mencapai 60% daripada sasarannya.
Komuniti perniagaan Melayu sudah tentu menantikan satu perancangan dan perlaksanaan yang serius dan berkesan yang dapat menghasilkan EPP Melayu bagi merapatkan jurang ekonomi, jurang pegangan harta dan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin di kalangan kaum lain. Usaha ini dilihat mampu menjayakan sasaran negara sebagai negara berpendapatan tinggi selain mewujudkan kestabilan dan kelestarian negara.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengharapkan TERAJU akan dapat membentangkan satu pelan transformasi yang lebih berkredibiliti dan efektif yang mampu menangani kemelut ekonomi masyarakat berpendapatan rendah, khususnya kaum Melayu yang mewakili kelompok terbesar dalam kumpulan ini.
MTEM akan menggerak dan menyelaraskan ahli-ahli MTEM di kalangan NGO-NGO Ekonomi Melayu dalam menjayakan agenda transformasi ekonomi negara bagi mendapat peluang kek ekonomi yang sama. MTEM akan terus bersama-sama TERAJU dan semua agensi terbabit dalam mengadakan fasilitasi kepada penyertaan ahli-ahli MTEM dalam pelbagai inisiatif agenda ekonomi seterusnya membantu penambaikkan polisi ekonomi negara ke arah mencapai matlamat Model Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.
Nota: Penulis adalah pengarah eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.