Salur RM600 Juta Untuk Dana TeraS

sinar

By Mohamad Hafizi Mohd Said

clap clap

Muzaffar (kanan) dan Husni bertukar dokumen kerjasama antara Maybank Islamic dan Teraju sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Putrajaya, baru-baru ini.

MAYBANK Islamic Berhad (Maybank Islamic) menyalurkan pembiayaan RM600 juta bagi bantu usahawan Bumiputera melalui dana Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berkata, kerjasama ini merupakan situasi menang-menang antara Maybank Islamic dengan Teraju dalam membantu usahawan Bumiputera.

“Sehingga penghujung September lalu, jumlah pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menunjukkan pertumbuhan 50 peratus hingga 60 peratus dan ini menunjukkan komitmen Maybank Islamic kepada industri itu.

“Kerjasama ini juga mempamerkan kesungguhan kami untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam menjayakan inisiatif pemerkasaan ekonomi Bumiputera,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Teraju dengan Maybank Islamic di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Muzaffar, pembiayaan tersebut akan disalurkan kepada dua segmen dengan RM300 juta diperuntukkan bagi pinjaman modal kerja, manakala baki RM300 juta lagi adalah sebagai pembiayaan pembelian aset oleh syarikat TeraS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh berkata, perjanjian bersama Maybank Islamic menjadikannya institusi kewangan keempat menjalinkan kerjasama tersebut selepas SME Bank, RHB Islamic Bank dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

“Perjanjian ini mempamerkan komitmen Teraju dalam meningkatkan prestasi keusahawanan serta pemilihan aset di kalangan usahawan bumiputera di mana kerjasama ini meningkatkan dana TeraS kepada RM2.2 bilion.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, pangkalan data pengguna usahawan Bumiputera di Maybank Islamic bakal digunakan untuk menggalakkan lebih ramai golongan tersebut menyertai program TeraS,” katanya.

Husni berkata, Dana TeraS yang disediakan kerajaan adalah untuk membantu syarikat Bumiputera berprestasi tinggi meningkatkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi serta mewujudkan ‘Global Champion’ di kalangan mereka.

Sehingga kini, Teraju mempunyai 857 buah syarikat Bumiputera yang bernaung di bawah program TeraS.