KUALA LUMPUR 23 Feb – Persatuan Forum Komunikasi Sedunia (WFCA) menobatkan Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia), Prof Mohd Said Bani C.M Din sebagai pemenang anugerah Pemimpin Perhubungan Awam Terbaik Asia Pasifik 2022 di majlis anugerah yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij ini menyerlahkan kepimpinan berwibawa Said Bani iaitu visi strategik dan inovasi dalam industri perhubungan awam di Malaysia dan di rantau Asia-Pasifik.
Said Bani dipilih daripada sekumpulan pemimpin perhubungan awam terbilang di rantau Asia-Pasifik oleh panel hakim ternama yang telah menilai calon-calon berdasarkan sumbangan mereka kepada industri, organisasi mereka, dan juga komuniti.
Para hakim mengiktiraf kepimpinan cemerlang dan visi strategik Said Bani dalam membangunkan strategi komunikasi berinovatif yang telah membantu perniagaan mengubah operasi, proses dan teknologi mereka untuk mencapai kecekapan dan keberkesanan lebih tinggi dalam landskap digital yang dinamik masa kini.
Said Bani berkata,
“Pengiktirafan ini mencerminkan pertumbuhan pesat keseluruhan industri perhubungan awam dan komunikasi negara dengan semakin banyak organisasi yang mengiktiraf pentingnya komunikasi yang berkesan dalam mencapai kejayaan perniagaan.”
“Industri ini semakin matang dengan pelbagai agensi, perunding dan pasukan dalaman yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk perhubungan media, pengurusan krisis, penglibatan pihak berkepentingan dan komunikasi digital,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga menyandang jawatan Pengarah Urusan bzBee Consult, syarikat komunikasi strategik bersepadu mengasaskan syarikat itu dengan kepimpinan yang berwawasan dan menyediakan penyelesaian kepada barisan pelanggannya.
Sejak tahun 2015, bzBee Consult telah menerima sebanyak 16 Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) sebagai pengiktirafan terhadap hasil kerja berkualiti syarikat yang konsisten di bawah pimpinan Said Bani.
Pengalaman profesional beliau adalah meluas, termasuk perkhidmatan diplomatik, penasihat komersial dan rundingan merentas sempadan, penasihat undang-undang dan rundingan, hiburan, media dan khidmat nasihat siaran serta pengurusan acara.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan kepada perkhidmatan berdedikasi beliau selama lebih 25 tahun dalam industri.
“Sentiasa menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian komunikasi yang terbaik dan berkesan untuk memacu kejayaan perniagaan di rantau Asia-Pasifik,dan anugerah ini mendorong kami untuk terus bekerja keras dan cemerlang dalam usaha kami,” katanya.
Anugerah itu adalah salah satu acara anugerah yang dianjurkan oleh WCFA yang berpangkalan di Davos, sebuah organisasi global yang menghimpunkan pemimpin komunikasi dari seluruh dunia untuk berkongsi etika terbaik, pandangan dan pengalaman.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan profesional perhubungan awam dalam memajukan industri dan memacu kejayaan perniagaan di rantau Asia-Pasifik.