PETALING JAYA: Pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult, Prof. Mohd Said Bani CM Din, mencatat sejarah sebagai pengamal komunikasi pertama dari Malaysia yang menerima Anugerah ‘Communicator of The Year’ (COTY) IABC Asia Pasifik dalam kategori ‘Senior Communication Professional’.
Anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang komunikasi strategik, di samping mencerminkan tahap kecemerlangan baharu dalam bidang komunikasi di rantau ini.
Sebagai pemimpin tersohor dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi, Mohd Said Bani sentiasa mempamerkan tahap komunikasi yang berkesan sepanjang kerjayanya secara konsisten.
Selaku Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia, beliau sering menekankan pentingnya komunikasi strategik, etika, dan keterangkuman dalam komunikasi bagi memupuk hubungan yang bermakna dalam pelbagai sektor.
Penulis prolifik dan Perunding Perhubungan Awam, Ninot Aziz berkata, kesungguhan Mohd. Said Bani dalam menjalin hubungan dengan semua pihak sangat unik di mana beliau tetap dengan
pendirian dan jatidiri dalam semua aspek.
Sentimen
“Dengan kearifan dan pemahaman tersendiri, beliau begitu cekap membaca sentimen dan meraih kepercayaan pelbagai pihak daripada Ketua Eksekutif kepada pelajar Universiti di bawah latihannya.
“Kesemua ini mencerminkan kepakaran, tahap integriti, serta komitmen teguh kepada etika. Sebagai seorang mentor, Bani tidak penat lelah berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam usahanya membentuk generasi masa hadapan dalam bidang komunikasi,” kata Ninot.
Kepimpinan Mohd Said Bani di bzBee Consult yang begitu berwawasan bukan sahaja memberi inspirasi kepada pasukannya tetapi juga memperkasa ramai individu termasuk ‘C-suite Executives’, pegawai kerajaan, profesional dan pelajar universiti.
Ketabahannya dan strategi inovatifnya semasa pandemik Covid-19 jelas mencerminkan kejayaan Prof Bani dan pasukannya menyusun naratif, melancarkan kempen yang berkesan, dan mencipta perubahan yang bermakna bagi kumpulan sasar dan komuniti yang terlibat.
Mengenai anugerah ini, Mohd Said Bani berkata, pengiktirafan itu menggariskan semula kekuatan transformasi komunikasi dalam dunia yang kompleks dan saling berkait.
“Saya mensifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan bersama setiap warga BzBee – kesetiaan, kreativiti, dan sokongan mereka merupakan faktor penting.
“Sebagai pengamal perhubungan awam dan komunikasi, kita mesti sentiasa memastikan kewibawaan dalam membentuk naratif, mempengaruhi persepsi, dan menjalin hubungan dengan masyarakat terutamanya kumpulan sasar.
“Ini merupakan tanggungjawab yang perlu sentiasa didukung dengan penuh beretika dan integriti.” katanya.
Pengiktirafan
Pengiktirafan global dan kesannya Pengiktirafan ini adalah anugerah ketiga buat Bani dalam masa setahun lalu, sekali gus mempamerkan sumbangannya yang cemerlang dalam industri komunikasi global.
Pada bulan Disember 2023, beliau telah menerajui kemenangan buat bzBee Consult untuk Kempen Komunikasi Global Terbaik bagi ‘Sarawak Tourism Board’, yang dianugerahkan oleh World Communications Forum Association (WCFA) di Davos, Switzerland.
Pada awal tahun ini, beliau turut menerima Anugerah ‘Top Leader’ dalam bidang Perhubungan Awam bagi Rantau Asia Pasifik oleh WCFA dan seterusnya dilantik sebagai salah seorang Lembaga Penasihat Antarabangsa bagi WCFA yang berpangkalan di Davos.
IABC Asia Pasifik telah mengumumkan pemenang anugerah secara dalam talian dalam menonjolkan pencapaian pakar komunikasi terbaik rantau ini. Upacara rasmi anugerah akan diadakan di Manila, Filipina dalam masa terdekat, bagi meraikan sumbangan para penerima anugerah dalam bidang komunikasi.
Kepimpinan
Meraikan Keunggulan dalam Komunikasi Anugerah Asia Pacific Communicator of the Year (COTY) ini mencerminkan sumbangan dan kepimpinan Bani dalam bidang komunikasi strategik.
Ia mengutarakan impak professionalismenya, pengiktirafannya di pentas global, dan sumbangannya dalam membentuk pengamal perhubungan awam masa hadapan, dalam kalangan pelajar.
Pengerusi IABC Asia Pasifik, Kane Errol Choa ketika memuji pencapaian Mohd Said Bani berkata. mereka sangat berbesar hati menyampaikan anugerah itu kepada beliau.
“Komitmennya terhadap keunggulan bidang komunikasi mencerminkan piawaian tertinggi profesion ini. Usahanya bukan hanya memajukan organisasinya tetapi juga meningkatkan bidang komunikasi strategik di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya.
Liza Vengco, Pengarah Anugerah dan Pengiktirafan IABC Asia Pasifik, menekankan pentingnya peranan pengamal komunikasi, “Pengiktirafan pemenang-pemenang tahun ini menonjolkan kekuatan transformasi komunikasi strategik. Kepimpinan dan inovasi mereka yang menerima anugerah menetapkan piawaian bagi pengamal komunikasi di seluruh dunia. Kami bangga dapat meraikan pencapaian mereka yang seharusnya menjadi inspirasi kepada pengamal komunikasi untuk terus mengetengahkan komunikasi yang beretika dan berwibawa.”
Prof. Said Bani cipta sejarah, menang anugerah ‘Communicator of The Year’