Perkasa Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menyokong Bajet 2016 yang disifatkan banyak membantu memperkasa agenda ekonomi bumiputera.

fuh

Abdul Rahim Tamby Chik

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, paling ketara bajet itu memperuntukkan RM3.7 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam mencapai matlamat tersebut.

Katanya, menerusi peruntukan itu, Mara akan menggunakannya bagi menaja pengajian 72,000 pelajar bumiputera di peringkat pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

“Melalui langkah memperkasa agenda bumiputera itu juga sebanyak RM150 juta digunakan untuk bantuan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Syarikat Berprestasi Tinggi.

“RM150 juta lagi kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, RM70 juta dalam Program Cabaran Bisnes Luar Bandar dan RM90 juta untuk Program Desa Lestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Gabem menyambut baik keterbukaan dan komitmen kerajaan dalam menerima pandangan, maklum balas dan kritikan semua pihak dalam bajet tersebut.

“Gabem yakin langkah-langkah dan peruntukan seperti itu membolehkan nasib golongan bumiputera terutama usahawan baharu akan lebih terbela,” ujarnya.

Katanya, Gabem juga menyokong usaha memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat program keusahawanan bumiputera menerusi pelbagai bidang yang berpotensi besar.

Antaranya, kata beliau, dengan menyalurkan RM400 juta kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad, RM250 juta (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan RM150 juta (Pelaburan Hartanah Berhad).

“Turut mendapat bantuan RM100 juta adalah Uda Holdings untuk pembangunan Kampung Baru, RM500 juta (Tekun Nasional) dan RM200 juta (Amanah Ikhtiar Malaysia),” katanya.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, Gabem juga menyokong langkah kerajaan yang menyediakan bajet RM35 juta bagi menerajui Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau.

Katanya, sebagai permulaan, Tabung Tanggungjawab Perniagaan Korporat telah menerima bantuan RM10 juta dan RM30 juta lagi untuk Program Keusahawanan Generasi Muda.

“Melalui program seperti itu di sekolah, ia akan menggalakkan golongan muda menceburi dunia keusahawanan dari peringkat awal dan memberi impak jangka panjang,” katanya.