KUALA LUMPUR : Selepas hampir dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19, Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2021, edisi ke-13 kini kembali dianjurkan oleh Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) baru-baru ini sebagai acara ‘hybrid’ buat pertama kali.
Industri Perhubungan Awam yang secara tradisinya didominasi oleh syarikat multinasional dan syarikat bukan Bumiputera, menyaksikan bzBee Consult Sdn Bhd (bzBee), sebagai satu-satunya syarikat Bumiputera yang bersaing pada malam itu, merangkul empat anugerah.
Sebagai ahli EXCO baharu PRCA, BzBee juga telah dipertanggungjawab sebagai penganjur bersama malam penganugerahan MPRA2021.Penganugerahan itu merupakan detik membanggakan bagi bzBee apabila mereka memenangi dua Anugerah Emas, pertamanya untuk kategori Komunikasi Isu dan Krisis dengan kempen “Skim Pajakan Persendirian: Sebagai Alternatif dalam Pembangunan Hartanah – Baik atau Buruk?” dan kedua, untuk kategori Hal Ehwal Awam bagi CENDANA, dengan kempen “Membantu Industri Seni dan Budaya Akibat Impak Pandemik”.
BzBee juga menerima Anugerah Perak untuk Kempen “Pandemic Pivot” atau “Komunikasi COVID-19” Terbaik – “Memposisi Pelancongan Sarawak: ‘Ke Sana Ke Sini’ – Penyesuaian Menghadapi COVID-19” dan Anugerah Gangsa untuk Kategori Agensi Terbaik dalam Mengadaptasi Cabaran COVID-19 – “Mengukuhkan Semangat Ukhwah Fillah – Pendekatan Komuniti dalam Adaptasi”.
Menurut Profesor Mohd Said Bani C.M. Din, Pengasas dan Pengarah Urusan bzBee, “MPRA kini semakin mendapat pengiktirafan daripada lebih banyak organisasi dari sektor swasta mahupun awam. Sokongan padu yang kami terima daripada penaja pada tahun ini jelas mencerminkan pengikhtirafan ini, terutamanya daripada Iskandar Investment Berhad, AgroBank dan Telum Media masing-masing sebagai penaja Platinum, Emas dan Gangsa.
“Saya benar-benar berharap organisasi ini akan terus memberi sokongan kepada profesion dan industri perhubungan awam. Saya juga berharap lebih banyak syarikat Bumiputera akan dapat diketengahkan dan mencapai kejayaan dalam industri ini.”
MPRA 2021 turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang telah menerima “Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia” sebagai penghormatan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan beliau yang amat proaktif, dalam komunikasi pandemik COVID-19.
MPRA 2021 juga menyaksikan, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid yang turut memberi sokongan kepada pengamal industri perhubungan awam melalui rakaman video.
Datuk Sri Siti Nurhaliza berkongsi: “Pengamal industri yang terbaik mesti diiktiraf atas prestasi dan pencapaian mereka. Sumbangan mereka memberi inspirasi dan pencerahan kepada masyarakat. Mereka memastikan naratif yang betul dan tepat dikongsi dan mereka juga mempengaruhi persepsi dalam era yang serba mencabar ini.”
Datuk Sheila Majid pula berkata: “Perhubungan Awam amat penting bagi industri hiburan. Saya amat berbesar hati kerana PRCA Malaysia telah mengambil langkah untuk mengiktiraf, menghargai dan memberi penghormatan kepada yang terbaik dalam industri, melalui MPRA2021 ini.”
MPRA2021 ini menyaksikan saingan yang hebat diantara pengamal industri dengan finalis berkualiti tinggi di antara pengamal perhubungan awam terkemuka di Malaysia. Walaupun saingan sengit, kempen bzBee telah menarik perhatian panel hakim yang berpengalaman termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; Pengarang Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor; Usahawan, Personaliti TV dan pengacara Leader Speakeasy di Astro Awani, Rozina Aziz; Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai; Pengarang Urusan The Vibes dan Ketua Pengarang Petra News, Terence Fernandez; dan Pengarah Urusan Klareco Communications, Dau Ming Seling.
Malam Penganugerahan MPRA 2021 telah dianjurkan dengan mematuhi SOP yang ketat. Acara utama melibatkan hanya 40 tetamu termasuk ahli exco PRCA, tetamu kehormat dan penaja.
Lebih 100 pengamal industri turut menyertai dan meraikan acara tersebut secara maya.
Published by : ASTRO AWANI
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mpra-2021-bzbee-consult-raih-empat-anugerah-337604