KIJANG. WAU. PITIS. KERIS. Tunggak Identiti Terawal Malaysia

Sewaktu Malaysia baru mencapai kemerdekaan, pemimpin terutamanya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj begitu berhati-hati dalam membentuk identiti negara yang baru terzahir. Segala persiapan gilang gemilang serta simbol insignia negara, dari pemilihan perhiasan, persembahan rakyat ke adat istiadat diRaja mendapat perhatian terperinci Tunku. Apabila kita menkaji dua acara sejurus selepas kemerdekaan, kita dapat melihat kepentingan budaya Melayu sebagai identiti Negara.

Pada 2hb September 1957,  DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bakal ditabalkan buat pertama kali. Adat istiadat majlis pertabalan mesti melambangkan kedaulatan dan keberadaannya. Ini termasuk Tengkolok Diraja, Muskat yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Keris seperti Keris Panjang Diraja, ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dua minggu kemudian pada 17hb September 1957 di mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB),  Tun Dr Ismail Abdul Rahman hadir mewakili Persekutuan Taanah Melayu atau Malaya berpakaian tradisional Melayu, lengkap berkeris, tanjak dan samping berjalan menuju ke rostrum untuk memberi ucapan sulung sebagai wakil Malaya di PBB.

Budaya dan busana Melayu menjadi lambang terpenting dari saat terlahirnya negara merdeka.

 

Lambang Identiti Negara

Simbol dan logo memainkan peranan penting dalam kehidupan, budaya dan ekonomi. Ianya dapat membangkitkan kesan emosi apabila melihat logo tersebut. Kepentingan simbol dan logo dipilih dengan rapi dalam pembentukan identiti negara kita.

Kekuatan budaya mencetuskan kekuatan jati diri. Kelantan merupakan negeri paling kaya budaya pada masa itu dan banyak lambang identiti kita datangnya dari Kelantan. Wau, Pitis, Kijang, dan Keris mempunyai kepentingan budaya yang unik dalam masyarakat kita yang mungkin tidak kita sedari.

Antara kepentingan terawal setelah Malaysia ditubuhkan adalah mendirikan sistem perbankan, syarikat penerbangan, pendidikan dan sebagainya. Pada tahun 1959 contohnya, Bank Negara ditubuhkan dan Malaysia bertanggungjawab penuh ke atas sistem perbankannya apabila pada tahun 1964, Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau mencetuskan  ilham menjadikan motif kijang, bulan dan bintang sebagai logo Bank Negara. Ramai berpendapat, motif kijang ini berasal dari pitis emas lama Kelantan iaitu kupang emas dari zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa lagi.

Antara logo paling dikenali pula pada awal 70an adalah simbol Syarikat Penerbangan Malaysia yang diilhamkan dari Wau Bulan Kelantan. Wau merupakan sejenis layang-layang tradisional yang lazim diterbangkan oleh masyarakat Melayu terutama di Kelantan dan dipercayai mempunyai nilai-nilai simbolik jati diri seperti kekuatan, semangat juang dan kesenian. Pemilihan sebagai logo Malaysia Airlines begitu tepat kerana melambangkan penguasaan ke atas elemen penerbangan yang telah ujud lebih 500 tahun di Tanah Melayu.

 

Sistem perbankan rakyat

Pitis atau mata wang perak tradisional Melayu adalah simbol kewangan yang penting dalam masyarakat Melayu. Selain digunakan sebagai alat transaksi, pitis juga mempunyai nilai sejarah yang kuat. Pitis digunakan sejak abad ke-14 dan hari ini, pitis dianggap sebagai warisan budaya yang berharga digunakan sebagai alat tukar untuk perdagangan di kepulauan Melayu.

Bank Simpanan Nasional Malaysia ditubuhkan pada 1 Disember 1974, di bawah Akta Parlimen 146 – Undang-Undang Malaysia 1974 atas kendalian Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah. Logo BSN diilhamkan pokok duit, atau pohon pitis diperbuat dari logam timah yang mengandungi 13 duit syiling dikeluarkan oleh Sultan Muhammad IV. Pada duit syiling ada tertulis “Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321”, dan pada muka sebelahnya “Belanjaan Kerajaan Kelantan”. Inilah mata wang Kerajaan Kelantan pada masa silam.

 

Lambang Keris

Tidak asing lagi bagi semua rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu adalah keris yang merupakan senjata tradisional Melayu yang mempunyai keunikan dari segi reka bentuk dan terdapat dalam beberapa jenis dan corak yang berbeza. Selain digunakan sebagai senjata, keris juga memiliki nilai simbolik yang kuat dan dianggap sebagai lambang keberanian, kejujuran, dan kehormatan dalam budaya Melayu.

Negara kita mengabadikan keris sebagai lambang perjuangan dan semangat tinggi dalam memartabatkan nusa dan bangsa. Contohnya dalam Jata Malaysia, terdapat lima keris yang menandakan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Tentera Darat Malaysia contohnya menggunakan Keris Bersilang Duku Ilang melambangkan keperwiraan. Lambang ini menunjukkan pantang undur dan sanggup berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir.

 

Keunikan simbol-simbol sebegini memberikan gambaran tentang kekayaan budaya Melayu serta nilai-nilai tradisional yang penting bagi masyarakat kita hari ini.

Kita ada sejarah. Kita ada budaya yang boleh dibanggakan. Kita ada jatidiri.

Jangan lupa warisan yang membentuk jati diri ini sekian lama.

 

Ninot Aziz

Ketua Pegawai Operasi, bzBee Consult & Presiden, Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA)