Jayakan Bisnes Melayu Tugas GLC

sinar

MUHAMMAD ALI HASHIM

11 November 2013

khalifah

Muhammad Ali Hashim Khalifah Bisnes: Muhammad Ali Hashim

MINGGU lalu beberapa akhbar nasional mendedahkan isu tindakan Petronas khasnya dan GLC amnya meminggir peniaga Melayu “mengetepikan mereka dan lebihkan syarikat asing”. Sinar Harian antara akhbar barisan depan, dengan tajuk muka depan “Petronas pinggir Melayu” pada 6 November, diikuti “Kena tolong Melayu” pada 7 November.

Pendedahan ini menyebabkan beberapa NGO, persatuan dan dewan perdagangan yang berjuang membela kepentingan bisnes dan ekonomi Melayu bangkit menyuarakan kemarahan terhadap GLC, menuntut Petronas dan GLC lebih peka bertindak membangun bisnes Melayu.

Tuntutan ini semakin serius memerlukan perhatian segera Petronas dan GLC apabila Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri juga Penasihat Petronas, turut memandang berat isu ini. Beliau menyarankan Petronas tolong Melayu “atas dasar merit” dalam rangka melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana “… kerajaan belum tolak DEB.”

Bantu Melayu kewajipan asas GLC

Sesungguhnya memperkasa ekonomi Melayu/Bumiputera (MEB) sebagai agenda besar nasional wajib diutamakan Petronas dan semua GLC dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) turut memandang serius isu ini.

Mustahil Malaysia jadi negara maju lipat gandakan pendapatan MEB selagi penduduk majoriti Melayu/Bumiputera berpendapatan rendah dan miskin relatif.

GLC paling sesuai menjayakan agenda MEB dengan membuka luas peluang mobiliti ekonomi Melayu/Bumiputera berhijrah daripada kerjaya berpendapatan rendah kepada kerjaya usaha bisnes dan industri berpendapatan tinggi.

Justeru, DPIM berpendirian sewajarnya agenda MEB dijadikan kewajipan asas GLC, iaitu satu agenda utama yang mesti semua GLC jayakan, termasuk Petronas.

Sekali pun GLC seperti Petronas mempunyai tanggungjawab khusus di sektor petroleum negara, keupayaan organisasi Petronas, aset dan sumber dana nya wajar dijuruskan ke arah menjayakan agenda nasional ini kerana masyarakat sangat mengharapkannya.

Jika tidak dikendalikan oleh Petronas sendiri, tugas ini boleh dikendalikan anak syarikat atau badan khusus ditubuhkan menggunakan dana Petronas.  Mungkin sebahagian sumbangan besar kewangan Petronas kepada kerajaan boleh digunakan.

Persoalannya, juga cabaran paling besar: Bagaimana agenda ini dapat dijayakan berteras merit menerusi kaedah pasaran atau tanpa memudaratkan atau merosak kepentingan jangka panjang GLC di satu pihak, kepentingan bisnes Melayu di pihak kedua dan kepentingan besar jangka panjang pembangunan ekonomi negara di pihak ketiga.

Apa pun, jelas sekali matlamat ini tidak dapat dijayakan menerusi pendekatan mengutamakan syarikat asing (atau syarikat berdaftar di Malaysia tetapi saham utamanya dimiliki asing), mengetepikan kepentingan anak bangsa.

Sesungguhnya, kita tidak boleh biarkan cerita roti asing (bread story) berpanjangan mengetepikan nasi lemak tempatan sampai bila-bila!

Gabungkan kekuatan GLC

DPIM berpendapat GLC Malaysia wajib segera bina critical mass usahawan dan bisnes Melayu berkeupayaan tinggi, dengan menjadikan usaha ini satu agenda nasional keutamaan tertinggi kerajaan dan negara.

Tun Dr Mahathir tegaskan Petronas dan GLC mesti jayakan matlamat DEB. DPIM pula ingin menambah: Sasaran DEB Fasa 2 kali ini bukan lagi 30 peratus, tetapi 70 peratus! Kerana 30 peratus belum berjaya tegak keadilan dalam erti kata sebenarnya (sedangkan Melayu-Muslim berjumlah 60 peratus warga Malaysia).

Tiga puluh peratus juga tidak menepati maksud istilah “memperkasa” Melayu yang kerap kita gunakan!

Kewajipan utama bangsa Melayu hari ini ialah mengguna sepenuhnya kuasa politik dan pemerintahan serta sumber GLC dengan penuh hikmah dan bijaksana menyusun strategi mapan menjayakan matlamat besar 70 peratus MEB.

DPIM yakin matlamat jangka panjang ini boleh dicapai dengan adanya percaturan strategi mapan menggabungkan sumber dan tenaga semua – GLC, koperasi, korporat swasta Melayu dan juga PKS Melayu, termasuk membentuk institusi baru, iaitu institusi Waqaf Korporat.

Apa pun, bangsa Melayu juga perlu sedar matlamat MEB 70 peratus mustahil dijayakan jika dalam menangani isu Petronas/GLC “pinggir Melayu” kita pula bertindak mengikut kaedah yang akhirnya melemahkan Petronas atau mematah semangat GLC.

Justeru sangat penting kemarahan dan emosi meluap terhadap Petronas dan GLC segera diredakan dan bangsa Melayu fokus kepada tugas memangkinkan Petronas dan GLC menyusun strategi menjayakan MEB.

Hakikatnya hari ini, GLC termasuk Petronas kini menerajui beberapa bisnes strategik peringkat nasional. Justeru, langkah paling penting bukan melemah atau mencantas GLC, tetapi sebaliknya memperkasa GLC.

Antara langkah penting ialah dengan tegas menolak penswastaan GLC atau syarikat dan bisnes miliknya kepada swasta, tidak kira kepada swasta Melayu sekalipun, kerana penswastaan terbukti punca utama kebocoran dan kehilangan milik korporat Melayu. Juga penting: Elakkan Petronas dan GLC jadi mangsa kompromi politik merugikan.

Perhatikan: Bahagian terbesar kepentingan milik Melayu dalam bisnes dan korporat terdapat pada pegangan amanah GLC. Hari ini GLC (dan syarikat tersenarai miliknya) bertanggungjawab kepada 30 hingga 40 peratus nilai pasaran modal di Bursa Malaysia.

Inilah sebabnya DPIM tegas menyarankan GLC terpilih diiktiraf semula sebagai Institusi Korporat Amanah Nasional diamanahkan khusus menjayakan agenda MEB, menjana kekayaan dan peluang kerja selain menambah nilai menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bina jaringan “market-driven”

Dalam menjayakan tugas dan tanggungjawab Institusi Korporat Amanah, Petronas dan semua GLC wajib mengetengahkan (bukan mengetepikan) bisnes Melayu dengan bersama membentuk jaringan bisnes berkesan memperkasa ekonomi Melayu.

Fokus mestilah kepada membina dan mengawal serta menguasai seluruh rantaian bisnes (business value chain) di sektor bisnes strategik bertujuan memperkukuh daya saing bisnes Melayu.

Pentingnya penguasaan rantaian nilai dan jaringan bisnes untuk menjayakan usaha Melayu tidak boleh dipandang ringan. Orang Cina berjaya bina bisnes sekali pun tanpa dasar kerajaan seumpama DEB memihak kepada mereka, semata-mata kerana kekuatan jaringan dan rantaian bisnes menerusi kongsi atau Guang-xi bisnes Cina yang sebati dengan budaya Cina membolehkan mereka cepat berdikari dan sangat tinggi daya saing.

Tanpanya, sangat sukar bangsa Melayu maju memperkasa ekonomi berlandaskan pacuan bisnes. Justeru DPIM menegaskan supaya Petronas dan GLC segera berperanan sebagi korporat induk membentuk kerangka institusi menguasai rantaian nilai beberapa bisnes strategik mempercambah peluang bisnes, membangun usahawan entreprenur Melayu, selain memupuk dan membimbing bisnes Melayu supaya cepat membesar dan berdikari.

Pengalaman saya selaku CEO Johor Corporation membuktikan semua ini boleh dijayakan atas dasar bisnes dan “market-driven” seperti di bawah skim pembangunan intrapreneur JCorp.

Konsep jaringan bisnes penting dan  saya kupas dalam beberapa artikel di Sinar Harian sebelum ini (iaitu pada 7 Oktober, 2013 dengan tajuk: “Bina jaringan bisnes perkasa”, diikuti pada 14 Oktober, dengan tajuk: “GLC: Korporat induk memperkasa usahawan”.

Kedua-dua artikel saran sektor bisnes Melayu/Bumiputera segera bina jaringan bisnes mapan untuk mudahkan mereka berjaya dan memangkin kemenangan bersaing di pasaran tanpa subsidi atau bantuan kerajaan.

Masyarakat peniaga dan bisnes Melayu sangat memerlukan bimbingan dan sokongan atas dasar merit lagi tegas membina keupayaan berdikari. Malangnya, masyarakat Melayu tidak menyediakan institusi budaya seumpama persatuan kaum atau kongsi Cina membantu usaha.

Justeru, sokongan jaringan daripada GLC, NGO dan Dewan Perdagangan (misalnya menerusi program Rakan Jihad Bisnes kendalian DPIM) penting dijayakan mengisi kekosongan.

DPIM berpendapat GLC paling sesuai mengisi kekosongan institusi jaringan bisnes untuk Melayu. Namun tidak semestinya semua GLC kendalikan sendiri. GLC harus bijak bekerjasama mendukung usaha NGO, persatuan atau dewan perdagangan menjayakan agenda ini.

DPIM, misalnya, memerlukan sokongan dan dukungan GLC melonjakkan program rantaian Rakan Jihad Bisnes (RJB) untuk dipertingkat dan dikembangkan ke seluruh negara merangsang ahli bisnes Muslim membina bisnes masing-masing.

Konsep RJB berprinsipkan semangat “alyadul uliya”, iaitu berdikari menjadi ahli bisnes “memberi” dan bukan “meminta”. Bayangkan betapa besar impak kepada Agenda MEB jika jaringan bisnes berdikari seumpama RJB, mendapat dukungan dan sokongan Petronas dan GLC selaku Institusi Korporat Amanah induk MEB.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)