ALOR SETAR, 20 Okt (Bernama) — Skim Pembiayaan Groom Big (SPG) bukan sahaja membantu memperkasakan usahawan Bumiputera, malah membolehkan mereka menawarkan peluang pekerjaan sekaligus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Zanudin Ab Rahim berkata Mara menawarkan SPG bagi usahawan yang benar-benar komited dan berpotensi untuk lebih berjaya, bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.
“Bila perniagaan mereka lebih maju, banyak peluang pekerjaan akan wujud dan ia akan membolehkan mereka terus berkembang dan dapat menambah aset,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Inovasi 2014 Mara Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata melalui skim berkenaan, usahawan Bumiputera yang mempunyai rekod yang baik, akan mendapat kemudahan pembiayaan tambahan tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan sedia ada.
“Bila kita buat macam ini, usahawan tidak perlu membuat pinjaman bank lagi kerana melalui MARA, urusan pinjaman lebih mudah dan dari segi bayaran pun tidak membebankan usahawan,” katanya.
Skim yang diperkenalkan pada 2011 itu membolehkan peminjam memiliki dua akaun dengan jumlah pembiayaan terkumpul tidak melebihi RM1 juta dengan setiap akaun tidak boleh melebihi RM500,000.
Sementara itu Pengarah Mara Kedah, Abdul Halim Mamat berkata, bagi tahun ini, lima usahawan telah dicadangkan untuk menerima SPG iaitu membabitkan sektor pelancongan, pengangkutan, pengusaha barang kemas, pengendali Pusat Latihan Khidmat Negara dan aksesori.
“Sebelum ini, hanya seorang usahawan telah terpilih menerima SPG di Kedah dan yang kita cadangkan untuk terima Groom Big ini bukanlah yang biasa, tetapi mereka sudah ada perniagaan yang berpotensi untuk lebih berjaya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya MARA Kedah telah membelanjakan RM42 juta dari Januari hingga Oktober ini bagi membantu lebih 250 usahawan Bumiputera.
“MARA bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah kami juga menyediakan pelbagai bentuk latihan, kursus-kursus dan nasihat untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawan.
“Dengan bimbingan Mara para usahawan boleh berjaya asalkan mereka berdaya maju, bersikap positif, berdaya saing, berdisiplin tinggi dan berusaha meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.