DPMMS Anjur Taklimat Dan Forum ETP Bantu Usahawan Majukan Perniagaan

teraju dalam proses AUG

21 Mac, 2011 20:07 PM

SHAH ALAM, 21 Mac (Bernama) — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) akan menganjurkan Taklimat dan Forum Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), bagi membantu usahawan mencari hala tuju bagi memajukan perniagaan mereka.

Pengerusi Biro Latihan dan Aduan Usahawan DPMMS Datuk Sohaimi Shahadan berkata semua usahawan yang berminat dari seluruh negara dipelawa hadir pada forum dan taklimat percuma bagi mendengar dan mendapatkan pengetahuan mengenai ETP dan Teraju, pada 7 April.

“Ada ramai usahawan yang tidak jelas dan tidak sedar mengenai dasar yang dibuat kerajaan bagi membantu mereka. Melalui taklimat dan forum ini kita mahu supaya mereka maklum terdapat peluang yang disediakan untuk memajukan perniagaan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari Isnin.

Beliau berkata taklimat dan forum itu dianjurkan sempena Mesyuarat Agung DPMMS pada petang yang sama.

Sohaimi berkata taklimat dan forum anjuran Biro Latihan dan Aduan Usahawan DPMMS yang mendapat kerjasama dari Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) itu membariskan anggota panel seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Idris Jala, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Husni Salleh dan Yang Dipertua DPMMS Tan Sri Rozali Ismail.

Beliau berkata hasil perbincangan pada taklimat dan forum itu akan dikemukakan kepada kerajaan dan kementerian terbabit bagi memastikan mereka mengetahui senario semasa yang diterima terus melalui penyertaan usahawan dalam industri berkaitan.

Katanya satu pangkalan data berhubung maklumat usahawan yang hadir juga akan diwujudkan bagi memastikan maklumat terkini antara kedua-dua pihak dapat dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sohaimi berkata mereka yang berminat boleh mengisi borang di laman web www.dpmms.com.my atau menghubungi talian 03-55199110 mulai esok hingga 30 Mac ini.

“Kami mahukan mereka yang benar-benar serius menghadiri forum itu kerana tempat adalah terhad kepada 800 usahawan mengikut asas yang dahulu diutamakan,” katanya.

— BERNAMA